Header Ads Widget

Ticker

6/recent/ticker-posts

Kaum Orang Asli Senoi aka Sakai Dikatakan Mampu Mengawal Mimpi Ketika Tidur


Terdapat banyak kajian ilmiah yang diterbitkan oleh ahli antropologi (pengkaji mengenai bidang kemanusiaan) dipertikai atau diragui kesahihannya kerana kekurangan bukti kukuh walaupun ramai orang yang berharap kajian mereka itu adalah benar dan logik.

Ini kerana, ramai ahli antropologi tertentu mahu mengkaji mengenai perkara mistik tentang sesuatu masyarakat sehingga mereka menulis sesuatu yang dianggap tidak masuk akal oleh banyak pihak akedamik lain terutamanya di Barat.

Ada antara hasil penyelidikan dan karya ilmiah mereka sangat menarik tetapi tidak dapat dibuktikan dengan pasti. Hanya pembaca yang menolak fakta saintifik sahaja memilih untuk percaya tentang kewujudan perkara mistik tanpa bukti.
Budaya mimpi kaum Senoi



Salah satu daripada karya yang sering diperkatakan ialah buku bertajuk Pygmies and Dream Giants yang ditulis oleh ahli antropoligi Amerika Syarikat, Kilton Stewart. Buku itu mengenai hasil kajian yang dilakukannya di Malaysia tentang 'budaya mimpi' kaum Orang Asli Senoi atau lebih dikenali sebagai kaum Sakai di kalangan penduduk tempatan.

Dalam tulisan tesis kedoktorannya pada tahun 1948, Stewart membentangkan hujah tentang keupayaan kaum Senoi atau Sakai ini dalam mengawal mimpi dan bagaimana mereka mendidik anak-anak mereka untuk menguasai kebolehan yang sama.

Kaum Senoi adalah kaum orang asli yang tinggal di Semenanjung Malaysia dan terdiri daripada enam kumpulan yang berbeza iaitu Semai, Temiar, Mah Meri, Jah Hut, Semaq Beri dan Cheq Wong. Populasi mereka dianggarkan sebanyak 60,000 orang. Kaum ini adalah salah satu daripada tiga kaum orang asli utama di Malaysia.


Suku Mah Meri

Antara penempatan kaum Senoi yang paling terkenal ialah di Jeram Kawan, Daerah Batang Padang, Perak. Selain itu, kaum Senoi juga mendiami beberapa negeri lain seperti Terengganu, Pahang, Selangor dan Melaka.

Salah satu perkara menarik yang sering dibincangkan mengenai kaum Senoi ini adalah tentang mimpi mereka. Mereka dikatakan mahir dalam perihal 'lucid dream' atau 'mimpi nyata' sehingga mendapat gelaran sebagai "Kaum Mimpi".
Diajar mengawal mimpi sejak kecil



Setiap pagi, keluarga kaum Senoi akan berkumpul untuk bersarapan pagi dan golongan kanak-kanak akan mula menceritakan mimpi mereka kepada ibu bapa dan penduduk yang lebih tua di kampung mereka. Mereka biasanya akan menafsirkan mimpi yang mereka alami dengan menganalisis plot atau kisah yang berlaku dalam mimpi mereka.

"Peraturan mimpi" yang diamalkan kaum Senoi adalah sangat mudah. Pertama sekali, kanak-kanak Senoi akan diajar untuk menghadapi dan menguasai ketakutan serta bahaya dalam mimpi mereka.

Sebagai contoh, jika mereka bermimpi tentang haiwan berbahaya atau ditakuti, mereka diajar untuk tidak lari dan perlu berhadapan dengan haiwan itu. Sekiranya mereka memerlukan bantuan, mereka perlu mencari kawan-kawan yang dikenali dalam mimpi, bukannya terus bangun daripada tidur.



Sekiranya mereka mimpi terjatuh dari tempat tinggi pula, mereka diarahkan untuk bertenang dan membiarkan sahaja diri mereka jatuh. Ibu bapa dan orang-orang tua sering mengingatkan bahawa mereka tidak akan terluka atau cedera sekiranya terjatuh dalam mimpi.

Selain itu, kanak-kanak Senoi juga digalakkan untuk mendaki, mengembara, melompat, terbang dan mempelajari perkara-perkara baru dalam mimpi mereka. Sekiranya mereka terjaga ketika sedang melakukan perkara-perkara itu, mereka dinasihatkan agar mencuba lagi sekiranya mimpi yang sama berlaku pada masa akan datang.

Oleh kerana telah diajar sejak dari kecil lagi, anak-anak kaum Senoi telah biasa menghadapi apa-apa ketidakselesaan dalam mimpi mereka. Bagi mereka, mimpi adalah satu proses pembelajaran. Mereka juga sering disuruh untuk membawa sesuatu yang diperolehi daripada mimpi mereka untuk dikongsikan bersama.



Jika mereka terbang dalam mimpi, mereka harus terbang sejauh mungkin dan membawa pulang pesanan, lagu, puisi atau muzik dari tempat yang mereka tuju ketika bermimpi.

Selain itu, mereka juga diajar untuk menikmati keseronokan jika bermimpi melakukan hubungan seksual. Mereka disuruh mencapai proses orgasme dan meminta "cenderamata" daripada kekasih yang mereka mimpikan seperti kalimat, nasihat atau puisi.

Kemudian, seluruh pengalaman itu akan dibincangkan dan dianalisa dalam kumpulan. Tidak bersifat individual, kaum Senoi menjadi berkembang secara kolektif melalui mimpi dan amalan mimpi mereka.



Sekiranya seseorang itu bermimpi dianiaya atau disakiti oleh rakan yang dikenalinya dalam mimpi, rakan itu perlulah dimaklumkan supaya mereka dapat memperbaiki kelakuan mereka pada masa akan datang. Mereka akan memperbaiki kehidupan nyata mereka berdasarkan mimpi.

Kaum Senoi dikatakan mahir dalam mengawal 'mimpi nyata' atau 'lucid dream', bahkan mereka dikatakan membina rumah berdasarkan ilham yang diperolehi melalui mimpi.
Budaya mimpi Senoi menarik perhatian dunia barat


Patricia Garfield

Diihamkan oleh kajian yang dilakukan oleh Kilton Stewart, beberapa ahli akademik lain juga membuat kajian lanjut mengenai kaum Senoi. Sekumpulan pengkaji mendakwa bahawa penyakit mental seperti neurosis dan psokosis tidak wujud dalam kaum Orang Asli Senoi ini.

20 tahun selepas Stewart menerbitkan bukunya, kisah kaum Senoi dan budaya mimpi mereka sekali lagi diterbitkan oleh Patricia Garfield di dalam buku berjudul Creative Dreaming. Sebagai seorang ahli psikologi dan pengkaji bidang mimpi, Garfield pernah datang ke Malaysia pada tahun 1972 dan meluangkan masanya di hospital orang asli di Gombak.

Di hospital itu, dia telah bertemu dengan Orang Asli Senoi dan mendengar kisah mengenai budaya mimpi mereka yang kemudian dimuatkan dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 1974.


George William Domhoff

Walau bagaimanapun, dakwaan mengenai kaum Senoi yang mempunyai keupayaan mengawal mimpi telah dipertikaikan. Beberapa ahli akademik lain telah datang ke Malaysia untuk mengesahkan dakwaan itu tetapi kecewa kerana tidak dapat membuktikannya dengan jelas.

Walaupun kaum Senoi tahu tentang konsep 'mimpi nyata' atau 'lucid dream', tetapi mereka tidak dapat membuktikan atau mempunyai teknik-teknik khas bahawa mereka boleh mengawal 'mimpi nyata' secara berkumpulan atau individu melainkan pemberitahuan secara lisan.

Profesor Psikologi dan Sosiologi, George William Domhoff, dari Amerika Syarikat adalah antara salah seorang ahli akademik yang mengkaji kaum Senoi di Malaysia dan mempertikaikan dakwaan Stewart dan Garfield.



Stewart bukanlah satu-satunya ahli antropologi yang pernah tinggal bersama kaum Orang Asli Senoi di Malaysia. Ramai lagi ahli antropologi yang begitu berminat telah datang dan meluangkan masa untuk mengkaji kaum ini.

Sama ada kebolehan mengawal mimpi ini benar-benar wujud atau tidak seperti yang digembar-gemburkan di Barat, amalan budaya mimpi ini sememangnya wujud di seluruh dunia dan ia dikatakan memberi kelebihan kesihatan kepada individu atau kumpulan yang mengamalkannya.

Rujukan:

1. World of Lucid Dreaming

2. UCSC Education

3. The Epoch Times
Sumber LINK





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Anda Perut BUNCIT, Usus Kotor, Berat Badan Berlebihan? KLIK SINI UNTUK DETOKS TUBUH ANDA
 Dapatkan MADU LEBAH ASLI Disini...Makanan Sunnah Terbaik. Beli Madu Online >>>>KLIK SINI<<<< Penghantaran PERCUMA Ke Seluruh Negara!







............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram FacebookEmel kepada MRTwitterRSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Post a Comment

0 Comments